Telah masuk hari ke 3 aku tidak sihat. Selsema + batuk. Mungkin kesan sampingan jus mengkudu NONI yang aku beli daripada seorang rakan sekerja. Terkadang malas rasanya untuk aku teruskan pemakanan ini, tapi bila baca iklan NONI mengkudu ini yang mengandungi banyak kelebihan dan kebaikannya, terpaksalah aku habiskan jus ini.
Mungkin inilah pengaruh hendak menjaga kesihatan supaya bentuk badan kekal cantik sepanjang zaman. Sebenarnya junjungan Rasulullah S.A. W telahpun memberi panduan kepada kita cara-cara untuk kekal cantik. Tak payah pun cara dan kaedahnya. Sesiapapun mampu dan boleh laksanakannya. Antaranya:-
1) Ketahui penyakit itu datangnya dari perut.
So, kita jangan jadi orang yang terlalu pelahap. Kuat makan. Makan hanya perlu aje. Kata Saidina Abu Bakar, makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang. Maknanya; kita makan hanya untuk keperluaan jasad sahaja. Jika kita mempunyai semangat yang kuat, apa kata kita banyakkan amalan berpuasa sunat. Barulah kesihatan kita akan sihat sokmo.
2) Sentiasa berwuduk
Orang yang mempunyai wajah yang bersih, mulus, cantik, ayu, menawan tentunya ada petua kesihatan yang hebat-hebat. Ada yang sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit untuk membeli alat kosmetik yang berjenama seperti avon, revlon, maybeline atau apa aje yang berada di pasaran. Tapi kita seakan lupa pada ajaran kita, yang wajah yang suci itu datangnya dari tanda-tanda ketakwaan yang bermula dengan mengambil wuduk. Perbanyakkan amalan zikir dan membuat ibadat. InsyaAllah lama- kelamaan, wajah kita akan cantik dipandang orang.
3) Jauhi dari melakukan dosa
Kata orang alim-alim, satu dosa yang kita lakukan itu menggelapkan hati kita yang putih. Bintitk-bintik hitam ini seterusnya menghilangkan keceriaan wajah dan menimbulkan kerisauan dalaman yang akhirnya dipamerkan di wajah kita. Gelap. Hilang cahaya nur keimanan.
3 tips di atas, sekiranya diamalkan betul-betul; InsyaAllah penyakit yang kronik-kronik itu payah sikit untuk datang menjenguk kita. InsyaAllah...
Di corong radio dalam keretaku terdengar lagu 'camelia' nyanyian Irwansyah, penyanyi dari Indonesia. Melodinya boleh tahan untuk didengar tapi senikata lagu tersebut yang tak best buat kita yang beragama Islam. Lirik lagu yang menceritakan kisah tentang percintaan yang orang muda-muda masa kini. Kisah seorang gadis yang bernama Camelia telah menjadi perempuan simpanan.
Begitulah lumrah kehidupan hari ini, percintaan yang tidak mengikut adat-adat ketimuran dan yang penting mengikut lunas-lunas agama kita.
Macam yang telah dinyanyikan oleh penyanyi Dato' S.M. Salim 'cinta orang dulu'; bila berjumpa mata tertunduk malu.' Orang sekarang di bangku sekolah dah pegang-pegang. Tak class gitu kalau setakat bercakap dan pandang-pandang. Mula-mula pegang-pegang, lepas tu, tangan mula merayap dan minta 'ringan-ringan'. Kemudian bila dah nikmat mulalah memasang yang 'angan-angan'. Hilang segala pegangan dan tunjuk ajar ibu bapa tentang dosa pahala. Sia-sia ajaran guru di sekolah.
Kesannya, tak payah cakaplah. Semua orang tahu. Jesturu rasanya eloklah kita kembali semula kepada ajaran agama Islam yang cukup cantik mendidik, membimbing dan mengajar cara-cara yang diredhai oleh Allah berkaitan dengan percintaan ini.
Nenek aku juga pernah berpesan yang lelaki dan perempuan ini tidak boleh berkawan baik. Cukuplah kata nenek aku kita hanya berkawan di dalam kelas, di tempat kerja dan yang penting jangan masuk dalam bab-bab 'feeling' ni.
Pernahkah kita memaafkan orang lain? Bagaimanakah perasaan kita waktu itu? Lega! Pasrah! atau tiada apa-apa! Kosong..!!! Atau kata-kata maaf kita itu hanya ucapaan di bibir sahaja. Di hati hanya tuhan yang tahu...
Apakah sebenarnya kita memang seorang yang payah untuk memberi maaf kepada orang lain. Jesturu kita mengambil langkah berhati-hati supaya kita tidak melukakan hati orang lain. Sebagaimana kita mempunyai harapan supaya orang lain jua turut mengambil langkah yang serupa untuk tidak melukakan hati kita. Di sini silapnya kita. Orang lain tidak sama dengan kita seperti kata ahli pujangga, "rambut sama hitam, tapi hati lain-lain." Bila ada orang sekeliling kita melukakan perasaan dan hati kita, maka kita akan ingat sampai bila-bila. Dalam hati kita mengerutu, memendam rasa amarah dan benci.
Sebagai umat Islam dan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai ikutan hendaklah kiranya kita mencontohi, meniru dan menauladani pekerti nabi junjungan kita atau paling-paling sedikit pun hendaklah seperti mana kata usul Fiqih:
"Kalau tak dapat semua, sedikitpun jadilah serta memadai"
Menjadi seorang yang pemaaf dan tidak berdendam bukanlah perkara yang mudah seperti yang ditutMurkan. Memaafkan orang mudah.... tapi benar-benarkah kita memaafkan seikhlas-ikhlasnya. Atau sekadar untuk menjaga hati orang di sekeliling kita. Maka dalam kesempatan ini marilah sama-sama kita mendidik, membimbing hati kita untuk beransur-ansur memaafkan kesalahan orang lain. InsyaAllah suatu hari nanti, kita akan menjadi tenang dan pergi mengadapNya dengan perasaan redha dan diredhai..
Dalam melewati perjalanan hidup ini, kita sering berusaha untk menjadi orang yang baik-baik dan mengikuti sunah hidup yang telah ditetapkan oleh agama kita. Namun begitu dalam sedar atau tidak kita tergelincir juga melakukan ksesilapan dan kesalahan.
Kata orang alim, bila kita melakukan dosa dengan Allah, Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Pengampun akan melimpahkan rahmat keampunan kepada kita. Tapi bila kita membuat kesalahan dan kesilapan sesama manusia dan makhlukNya, hendaknya kita meminat maaf dan ampun daripada mereka.
Bab-bab minta maaf dengan manusia ini yang payahnya. Perasaan malu sudah pasti menebal dalam diri kita. Dahlah tu, silap-silap hari bulan mereka hendak tahu juga apa yang telah kita lakukan kepada mereka. Makin menambah sukarnya kita hendak meminta maaf dan ampun! Ada juga yang ambil jalan mudah, minta maaf dan ampun pada hari raya aje. Boleh ke buat lagu tu...
Apa pun kita kena juga minta maaf dan ampun bila buat salah dan silap sesama kita. Biarlah kita malu di atas dunia ini. Jangan kita seksa di akhirat nanti. Sebaiknya marilah kita kurangkan membuat salah dan menyakitkan hati sesama kita. Jaga lidah kita, mata kita, telinga kita dan anggota kita yang lainnya supaya semua tidak melukakan hati-hati manusia yang berada di sekeliling kita. Berdoalah kepada Allah moga kita sentiasa berada di bawah rahmatNya.
Cuti raya dah berakhir. Jalan raya sekali lagi 'Jeng'. Pertama ketika waktu raya dan sekarang ketika pulang tempat masing-masing selepas habis cuti raya. Begitulah setiap tahun, fenomena yang sama berlaku. Kesesakan jalan raya!!! Kata-kata orang ini; jalan raya 'jeng' kerana rakyat Malaysia kaya raya. Rakyatnya dari gaji ciput sehingga gaji besar mampu untuk membeli kenderaan terutama kereta. Maklumlah bank-bank kewangan menyediakan hingga 10 tahun pinjaman kenderaan.
Lagi satu, jalan raya 'jeng' kerana sikap pemandu kenderaan yang mementingkan diri sendiri. Masing-masing ingin berlumba dan hendak cepat sampai ke destinasi masing-masing tanpa mempedulikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
Hari ini di dada akhbar ( sinar harian ) memaparkan hampir 210 kematian akibat kemalangan jalan raya. Kita duk sibuk dan takut dengan ancaman H1N1, tiba-tiba kematian 'percuma' berlaku dalam sekelip mata sahaja. Apa yang menyedihkan apabila kematian kemalangan jalan raya itu disebabkan oleh sikap segelintir samseng-samseng jalan raya. Kita dah molek-molek dan berhati-hati membawa kenderaan, orang lain pulak yang gila-gila bawa kereta dan motor.
Berada di persimpangan lampu isyarat pun kena hati-hati. Lampu hijau belum tentu boleh jalan, terpaksa jugak tengok kiri kanan bagi memastikan tiada kenderaan yang melanggar lampu merah. Terkadang tu, sistem lampu isyarat juga mengelirukan. Hai... bahayanya berada di jalan raya.
Berdoalah setiap kali berada di dalam kenderaan kerana kemalangan bila-bila masa menjenguh kita.
Hari ini aku berbincang dengan rakan-rakan sekerja tentang solat tawarih di masjid masing-masing. Isu yang diperkatakan tentang anak-anak khairah masjid yang suka bermain mercun dan membuat bising. Rata-rata rakan-rakanku mengiyakannya. Ada juga ahli jemaah yang tidak selesa dan marah dengan suasana demikian. Malah ada yang berani ‘sound ‘ kepada ibu bapa supaya mengawal anak-anak mereka.
II.
Kebetulan hari ini, di TV9 rancangan bertanya ustaz ada pemanggil dari Sik Kedah bertanya soalan yang sama yang berkaitan dengan gelagat anak-anak di masjid.
III.
Tiga hari yang lepas, tok imam masjid kampungku menegur ahli jemaah supaya sentiasa hadir ke masjid solat berjemaah. Menurutnya bilangan ahli jemaah yang bersolat 5 waktu semakin berkurang. Lebih-lebih lagi orang-orang muda.
IV.
Dalam kuliah subuh di masjidku, ustaz jemputan juga melahirkan kebimbangan tentang anak-anak remaja yang kurang berminat untuk berkunjung ke masjid.
Kelima-lima situasi di atas menunjukkan gawatnya suasana yang berlaku di kebanyakan masjid. Kebimbangan generasi tua tentang kurang minatnya anak muda untuk bertandang ke masjid. Kenapa agaknya perkara demikian berlaku ya..?
Berikut adalah pandangan peribadiku tentang isu ini:
rKebanyakkan ibu bapa tidak bertegas untuk mengajak anak-anak mereka ke masjid. Ini berlaku kerana ibu bapa merasa rendah diri dan malu apabila anak-anak mereka bising, bercakap kuat, bermain dan menganggu jemaah masjid. Aku teringat kepada kata-kata bekas mufti negeri Selangor tentang perkara ini. Menurut beliau, dulu semasa beliau kecil pun beliau turutbermain dan berlari di masjid. Emak dan ayah tak larang pun dan akhirnya jadi mufti jugak. Aku pun macam tu, ayah sering mengajak aku ke surau setiap kali solat magribh dan isyak. Aku pun kuat main macam budak-budak zaman lening jugak. Yang bezanya aku dulu suka main kejar-kejar keliling surau dan main tol nusyud ( main sembunyi-bunyi). Bila orang sudah solat tarawih baru naik ke surau. Bukan apa, boleh makan kuih-kuih yang dibawa. Kuih paling best ketika itu ialah pisang masak yang dibelah dan kemudian ditabur gula di atasnya. Bestnya..
rAJK masjid dan surau sekarang seolah-olah tidak menyediakan suasana yang mengalakkan untuk anak-anak kecil datang ke masjid atau surau. Kalau boleh, biar anak-anak kecil ini tak payah datang ke masjid; menganggu kata mereka. Aku pernah menyaksikan seorang AJK masjid di kampungku sound kuat-kuat keanak-anak kecil ini supaya tidak bising dan bermain dalam masjid. Bayangkan kalau anak kita yang kena marah begitu! Tentu malam esoknya kita tak bawa dah anak-anak kita ke masjid. Buat malu aje. Situasi ini amat berbeza ketika zaman aku kecil dulu. Orang-orang dewasa yang berada di masjid tidak marah kepada anak-anak yang bermain di dalam masjid. Malah sebaliknya mereka menegur dengan suara yang lembut tentang adat-adat semasa berada di dalam masjid. Mereka tidak mudah melatah, biarpun anak-anak ini akan melakukan lagi malam berikutnya. Mereka terus menegur dan memberi nasihat tanpa jemu. Sebab itu barangkali, generasi dulu kekal untuk datang ke masjid.
rTiada aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid untuk menarik minat anak-anak datang ke masjid. AJK masjid sekarang ini lebih merancang aktiviti kepada golongan dewasa seperti ceramah, membaca al-Quran kepada golongan tua dan juga sambutan hari-hari agama seperti mauludir rasul, israk-mikraj dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini langsung tidak menjurus kepada pengisian kepada anak-anak. Menurut AJK masjid, anak-anak ini telah diajar di dalam kelas FAFA di sekolah maka tidak perlu lagi aktiviti seumpama itu dibuat di masjid. Ini yang silapnya...peranan masjid merupakan satu tempat aktiviti masyarakat dalam membina akhlak, sahsiah dan peribadi muslim. Teringat aku dulu, bila malam-malam aje, sudah menjadi rutin aku dan rakan-rakan ke surau untuk mengaji dan belajar perkara-perkara fardu ain dan fardu kifayah. Seronok bila setiap malam dapat berkumpul dan mengaji dengan guru-guru yang ramai. Guru-guru mengaji terdiri daripada ibu bapa kita juga. Untuk golongan remaja, diadakan pula aktiviti qiamulail.( beridah tengah malam ). Kan best kalau buat aktiviti sebegitu. Sekarang, anak-anak mempunyai rutin tersendiri seperti tiap-tiap malam menonton TV dengan rancangan-rancangan TV yang sentiasa dihafal oleh anak-anak kita. Anak-anak remaja pula, mempunyai masa terbuang terlalu banyak yang membawa mereka ‘mencipta’ aktiviti mereka sendiri seperti melepak dan merempit.
Akhirnya marilah kita berubah, ajak-ajak anak-anak kita ke masjid. Hiasi aktiviti-aktiviti masjid dengan aktiviti yang menarik minat anak-anak dan remaja kita. Insya-Allah sekiranya kita istiqamah dengan usaha kita akhirnya diberkati Allah. Maka lahirlah generasi baru yang cintakan kepada agamanya.
Tinggal 9 hari lagi kita berpuasa. Ini bermakna tak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bestnya...! Tapi dalam sedar tak sedar, kita sebenarnya berada dalam kerugian kerana berakhirnya bulan ramadhan. Mana ada bulan yang di dalamnya ada solat tarawih, bersahur dan malam Lailatul Qadar. Semua itu ada dalam bulan ramadhan.
Kita digalakkan membuat amal dengan lebih hebat lagi di penghujung bulan ramadhan. Ini buat mereka yang benar-benar yang hendakkan berjumpa dengan malam Lailatul Qadar. Tapi lain benarlah dengan yang berlaku dalam masyarakat kita; bila time-time akhir ramadhan ini, kita duk sibuk mengemas rumah, membuat kuih muih dan yang paling hebat kita rajin bebenor menjelajah ke pusat-pusat membeli belah. Maklumlah jualan mega raya!!
Dan yang kelakarnya, siap beli bunga api dan mercun buat adik-adik dan anak-anak kita. Bukan apa,.. buat menyambut 'pembebasan' syaitan dari rantai Allah. Syaitan memang gemar dan suka dengar bunyi-bunyi mercun ni.
Jesturu, aku rasa sudah sampai masanya kita ubah paradigma kita dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri ini. Tinggalkan perbuatan yang sia-sia seperti bermain bunga api dan mercun itu. Buat habis ke pitis aje. Lagi satu boleh membahayakan diri!!! Marilah kita pakat sama-sama meneruskan tradisi yang kita amalkan sepanjang bulan ramadhan seperti kurangkan bercakap perkara yang tak berfaedah; mengumpat, kata mengata, adu dumba dan sebagainya. Disiplin diri yang kita bentuk di dalam bulan ramadhan seperti solat berjemaah, membaca Al-Quran, berzikir dan perkara-perkara baik. sedekah..kita teruskan sepanjang bulan syawal dan kehidupan kita seterusnya.
Moga Allah tidak putarbelitkan hati kita. SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI.